SEJARAH
SENI SILAT
Seni silat adalah sejenis ilmu bela
diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu. Berdasarkan
bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobudur dan Candi
Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud sistem bela diri di
kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Bermula dari kepulauan Riau,
sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera.
Di
Sumatera, sistem bela diri ini diperhalusi lagi dan dikenal sebagai Pencak
Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya(abad ke-7 hingga
abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit(abad
ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah mencapai kemuncak
kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.
Dari
Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka.
Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana
sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat. Seni silat ini akhirnya sampai
ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa.
Laksamana Hang Tuah(Bapa Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat
daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau
Jawa(Majapahit).