Friday 14 December 2012

Sejarah Seni Silat


SEJARAH  SENI  SILAT

Seni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobudur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud sistem bela diri di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Bermula dari kepulauan Riau, sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera.

Di Sumatera, sistem bela diri ini diperhalusi lagi dan dikenal sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya(abad ke-7 hingga abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit(abad ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.

Dari Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat. Seni silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Laksamana Hang Tuah(Bapa Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa(Majapahit).